Indahnya bahasa mengulit halwa,
Sopan tuturnya meranah jiwa,
Gadis Melayu cantik berkebaya,
Warisan temurun ke anak dara.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Entri hari ini saya ingin membicarakan tentang baju warisan turun-temurun yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Begitu indah sekali bukan pantun gubahan sendiri. He he he.. Hanya bergurau. Jika kita lihat baju kurung ini, potongannya cantik di badan serta menjadikan si pemakai bertambah ayu dan sopan.
Sejarah Baju Kurung
Baju kurung amnya merupakan pakaian tradisional perempuan Melayu. Potongannya labuh melepasi lutut, manakala lengannya pula panjang sehingga ke pergelangan tangan. Kainnya pula labuh menutup hingga ke buku lali. Baju kurung asalnya adalah pakaian kaum lelaki dan dipanjangkan polanya lalu terhasil baju kurung. Asal usul sebenar pakaian tradisional ini tidak dapat dipastikan secara terperinci dan samar akan usulnya. Walau bagaimanapun, menurut Siti Zainon (2006), pakaian ini merujuk kepada pola baju. Pola pendek adalah untuk kaum lelaki manakala yang panjang pula adalah untuk kaum wanita.
 |
Add caption |
Menurut beliau lagi, perkataan kurung sendiri mempunyai persamaan dengan pengertian menutup, iaitu menutup tubuh badan. Seterusnya, ciri ini didapati menepati dengan konsep kedatangan Islam. Selain itu, baju kurung juga telah divariasikan coraknya mengikut negeri, contohnya Kurung Pahang, Kurung Cekak Musang, Kurung Kebaya, Kurung Kedah dan Kurung Teluk Belanga,
Jenis-jenis Baju Kurung
1. Baju Kurung Teluk Belanga
Baju kurung ini juga dikenali sebagai Baju Kurung Johor. Ia telah diperkenalkan oleh Sultan Johor ketika itu, iaitu Sultan Abu Bakar, baginda menitahkan bahawa baju perempuan labuhnya hingga ke paras bawah lutut serta atas lehernya bercorak halus dan tiada kocek. Justeru, terdapat pelbagai jenis sulaman halus yang dibuat di bahagian leher seperti corak mata lalat, tulang belut dan insang pari.
 |
Kuurng Teluk Belanga |
 |
Jahitan leher Mata Lalat |
2. Kurung Cekak Musang
Baju kurung Cekak Musang adalah sama seperti Kurung Teluk Belanga, cuma yang berbeza adalah pada bahagian leher. Di bahagian leher, Cekak Musang mempunyai kolar yang keras sebesar ibu jari dan menegak. Kolar ini pada bahagian depannya mempunyai bukaan panjang yang berkancing. Rekaan ini dipercayai telah menerima pengaruh dari India dan China.
 |
Kurung Cekak Musang |
 |
Bahagian kolar Cekak Musang |
3. Baju Kurung Kedah
Pakaian kurung kedah ini dipercayai berasal daripada Selatan Thai, ini kerana baju tersebut dibuat singkat hingga ke paras punggung seperti pakaian disana. Kurung Kedah terdiri daripada baju longgar yang dibuat daripada kain kapas berbunga kecil atau kain kasa tebal. Manakala, potomgan lehernya pula adalah berbentuk bujur sirih. Baju ini dipakaikan bersama kain sarong. Pakaian ini disifatkan sebagai pakaian basahan atau pakaian harian.
 |
Kurung Kedah |
Maka dengan itu, dapatlah kita melihat keindahan pakaian tradisional yang boleh kita banggakan. Pakaian sopan dan menutup aurat ini mempunyai nilainya ynag tersendiri lantas menjadikannya ikon unggul dalam masyarakat Melayu sehingga ke hari ini.Ayuh sama-sama kita memartabakan warisan tradisional yang tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan ini.
Comments
Post a Comment