Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Entri saya kali ini adalah berkenaan ilmu-ilmu sastera yang disampaikan melalui lirik lagu. Sememangnya saya akui setelah diperhatikan, ternyata lagu pada zaman dahulu mempunyai jiwa yang menghidupkan lagu serta memberi nafas roh kepada setiap yang mendengar. Jika kita putar kembali zaman 80-an dan 90-an dahulu terdapat lambakan lagu-lagu romantis yang liriknya sangat puitis dan mempunyai makna yang tersurat tersendiri. Antara kumpulan penyanyi yang banyak mengadaptasi sajak sasterawan Negara kita ini ialah kumpulan Kopratasa.
Jika dilihat,Kopratasa banyak menggunakan sajak-sajak para penyajak terkenal seperti Usman Awang serta A. Samad Said dalam lagu mereka. Liriknya yang puitis menjadikan lagu mereka berkualiti lantas diminati jutaan pendengar. Antara lagu yang kerap dan popular dimainkan di corong radio adalah seperti lagu Permata untuk Isteri yang telah banyak menyentuh sanubari pendengar dengan maksud-maksud yang indah. Lagu tersebut menceritakan tentang luahan seorang lelaki bernama suami yang mendendangkan bait-bait kata nasihat kepada isterinya tentang rumahtangga, adab, harapan serta perjuangan dalam menempuh ranjau hidup berbekalkan cinta yang utuh dan suci. Liriknya yang sangat indah dan gramatis telah menarik perhatian saya dan menjadikan batu loncatan bagi saya untuk terus meminati ilmu sastera.
Nasihat tentang adab disampaikan melalui liriknya iaitu
Kuingin kau jadi wanita mulia,
Yang tahu harga budi dan kasih,
Seorang lelaki bernama suami
Seterusnya ialah lagu yang diadaptasi daripada sajak Usman Awang iaitu Kekasih dimana melodinya amat sentimental terutamanya kepada penjiwa seni. Antara liriknya yang gramatis adalah seperti berikut :
Akan kupintal buih buih
Menjadi tali mengikatmu
Akan kuanyam gelombang gelombang
Menjadi hamparan ranjang tidurmu
Akan kutenun awan gemawan
Menjadi selendang menudungi rambutmu
Akan kujahit bayu gunung
Menjadi baju pakaian malam mu
Justeru bagi pendapat saya, amatlah berkesan jika pelajaran ilmu sastera ini diterjemahkan dalam bentuk lagu seraya dapat memikat hati para pendengar terutamanya kepada para belia yang masa kini sudah lama tidak tersedah kepada lagu-lagu sastera ini.
Saya juga amat menyokong jika cara pembelajaran sastera ini dilakukan melalui lagu. Ini disebabkan lagu adalah sebuah medium yang sangat ampuh dalam menyatupadukan manusia. Jika pihak yang terlibat seperti radio serta pendidik menggunakan lagu ini sebagai alatan dan medium untuk memartabatkan sastera melayu maka ia dijamin dapat menarik minat anak muda untuk mengenali, mengetahui lantas mencintai aset bernilai bagi sesebuah tamadun manusia iaitu sastera.
Sekian terima kasih dan jumpa lagi :)
Comments
Post a Comment