Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Entri kali ini adalah berkenaan bahasa kolokial yang
kini telah menjadi trend penulisan.
Sejujurnya, bagi saya penulisan berbentuk kolokial adalah sepekara yang tidak
patut dijadikan contoh apalagi suri tauladan dalam bidang bahasa ini. Ini disebabkan
apabila bahasa kolokial ini diterima malah dialu-alukan lagi kedatangannya
dalam dunia penulisan, maka hamcurlah sedikit demi sedikit bahasa ibunda yang
sememangnya menjadi kebanggaan anak bangsa.
Tidak mahu menunding jari lantas menyalahkan
mana-mana pihak berkenaan hal ini. Bagi saya, selain penulis, mahupun penerbit
yang terlibat secara keseluruhan dalam pembikinan bahan bacaan kolokial ini,
pembaca juga sebenarnya adalah asbab terpenting. Jika difikir secara logik,
tidak akan berhasil sesuatu perkara tanpa sokongan ramai pihak. Disini saya
tekankan bahawa kuasa pembaca adalah veto dimana mereka sangat berkuasa dalam
membuat pilihan samada mahu terus menyokong penghasilan karya picisan ini
ataupun berhenti daripada terus menerima.
Bagi saya
sebagai pencinta penulisan, adalah amat tidak wajar sekali akan tindakan
sesetengah pihak yang membenarkan bahan bacaan sebegini diterbitkan lalu
menjadi santapan umum. Jelas ia hanya mendatangkan lebih banyak keburukan
berbanding kebaikan.
 |
| contoh daripada sebuah buku |
 |
| contoh daripada sebuah buku |
Contoh pertama yang kita boleh lihat adalah akan
kurang penggunaan bahasa Melayu yang formal dan sopan dalam kehidupan seharian.
Kebanyakan penulisan kolokial ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium
penulisan mereka dan banyak sekali mencampur adukkan bahasa ibunda serta bahasa
asing di setiap bait tulisan mereka. Sebagai contoh penggunaan you dan I. Ini sangatlah mencacatkan sesebuah karya yang menjadi tatapan
umum.
Kedua, ayat singkatan yang digunakan adalah sangat
tidak formal dan rasanya tidak patut untuk diketengahkan dalam sesebuah
penulisan sebagai contoh “ Eh, pesal eh
ko rasa camtu?”. Apa reaksi anda jika terbaca penulisan begini. Nyatanya ia
hanya merendahkan standard bahasa ibunda malah kualiti penulisannya akan hilang
sama sekali.
Ketiga, pengaruh daripada bahan bacaan sebegini
membuatkan para pembaca yang terdiri daripada golongan pelajar akan melalui
satu fasa keliru dimana mereka beranggapan bahawa ia adalah perkara normal dan
biasa untuk menulis dalam bahasa kolokial. Ternyata itu salah sama sekali!
Keempat, kehadiran trend penulisan sebegini akan melenyapkan sedikit demi sedikit
tentang keindahan penulisan yang sifatnya puitis dan indah. Sedia maklum bahawa
penulisan itu sifatnya jujur. Sarat dengan perasaan dan jiwa yang mendalam. Oleh
sebab itu, kebanyakan penulisan yang berkualiti serta bagus bahasanya
menjadikan sesiapa yang membaca akan tersentuh. Malahan mesej yang ingin disampaikan
akan terus menangkap pemikiran si pembaca. Itulah perbezaan penulisan dahulu
dengan yang sekarang.
Disini saya ingin menyeru para belia yang minat akan
membaca supaya bertindak bijaklah dalam memilih bahan bacaan anda. Apa yang anda baca akan menjadi sebuah pengetahuan samada ia mencambah pengetahuan atau
merosak minda.
Pilihlah penulisan yang mempunyai gaya bahasa yang
sopan dan indah. Elakkan dari membaca bahan bacaan yang tiada mendatangkan
manfaat dan merosakkan bahasa bangsa.
Comments
Post a Comment