Asslamualaikum dan Salam Sejahtera.
Pada entri kali ini saya ingin berkongsi pengalaman tentang percutian saya ke Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia. Jika diikutkan banyak juga gambar yang diambil ketika saya melawat ke sana, akan tetapi semua gambar itu tekahoun hilang dan malangnya saya tidak sempat untuk membuat salinan. Maka dengan itu, hanyalah gambar yang saya muat turun dari internet dan ihsan daripada ibu saya yang masih menyimpan gambar-gambar tersebut.
Percutian ini pada awalnya telah dirancang oleh ibu saya disebabkan saya seorang sahaja yang belum pernah lagi ke luar negara. Namun apa yang istimewanya kali ini, cuma kami berdua sahaja yang pergi bercuti. Kami mengikuti sebuah kumpulan yang diketuai oleh ketua pelancong yang bernama abang Ali. Perjalanan kami yang pertama seusai tiba di Minangkabau International Airport. Padang merupakan tanah yang amat bersejarah dan mempunyai pelbagai sejarah dimana terdapat tempat kelahirannya Buya Hamka, keberadaan istana bersejarah lagi beradat, Istana Baso Pagaruyung, dan lain-lain lagi.
 |
Tempat kapal terbang mendarat, Minangkabau International Airport
|
 |
Minangkabau International Airport |
Apabila sudah selesai dengan urusan di lapangan terbang tersebut, kami kemudian telah dijemput oleh sebuah bas persiaran yang diketuai oleh abang Ali. Kami diberikan kata-kata aluan dan penghargaan atas kesudian kami untuk menjejakkan kaki ke negeri mereka, negeri kaya adat. Oleh sebab percutian kami yang sekejap ini selama 4 hari 3 malam, jadi kami terus dibawa bas ke tempat pertama.
 |
Bas Priwisata yang dinaiki oleh kami |
Kami dibawa ke air terjun Lembah Anai yang terletak di bahagian barat Cagar Alam. Mitos mengatakan bahawa air terjun ini jika disapu ke muka dapat menjadikan seseorang itu kekal muda. Saya tidak melepaskan peluang begitu saja dengan menyapu muka dengan air terjun yang tersangat sejuk itu, Sungguh damai sekali suasana air terjun itu kerana dikelilingi pokok-pokok yang banyak. Air terjun ini juga terletak disebelah jalan raya, oleh sebab itu agak sesak sedikit kerana kebanyakan bas pelancong akan berhenti ditepi jalan untuk menurunkan para pelancong yang melawat air terjun tersebut.
 |
Gerbang masuk ke kawasan Air Terjun Lembah Anai |
 |
Air terjun Lembah Anai yang bersebelahan jalan raya |
 |
Air terjun Lembah Anai (air berwarna hijau pada dasar) |
Seterusnya kami dibawa ke restoran minangkabau dan dijamu dengan makanan tradisi disana. Boleh saya katakan cara penyajian mereka adalah sangat berbeza sekali dengan adat orang di Malaysia. Mereka kaan menyediakan nasi berserta pelbagai jenis lauk dan semuanya disediakan dalam kuantiti yang sedikit. Juga untuk pengetahuan anda, makanan disini tiada variati. Konsep makanannya adalah sama disemua tempat, jadi untuk mengelakkan anda berasa bosan, perlulah sedikit usaha untuk mencari tempat makan Barat sebagai inisiatif lain.
 |
Hidangan Minangkabau |
Selepas makan, kami dibawa ke Hotel Grand Malindo. Kami menginap disana sepanjang percutian ini. Layanannya bagus sekali dan perkhidmatan wifi mereka boleh dikatakan memuaskan hati. Jadi malam itu kami tidur dengan nyenyaknya sementara menunggu hari keeskokan. Paginya saya agak sedikit hairan kerana ibu telah mengejutkan saya lambat, iaitu pada pukul 7.00 pagi untuk menunaikan solat Subuh. Ini disebabkan oleh waktu kita yang berbeza dengan waktu di Indonesia. Mereka sejam lambat dari waktu di Malaysia.
 |
Hotel Grand Malindo |
Keesokan harinya pula kami dibawa ke Istano Baso Pagaruyung. Sepanjang perjalanan kami ke sana, lambakan kedai kain dapat dilihat, kami juga diturunkan pada setiap kedai. Ini adalah jika ada diantara kami yang mahu membeli kain-kain disini. Pada pengamatan saya, kain-kain disini amatlah cantik dengan tenunannya yang teliti serta mengikut perkembangan fesyen terkini. Jadi tidak hairanlah banyak pemborong dari Malaysia yang datang ke Padang ini semata-mata untuk membeli kain. Selain itu, harga kain juga sangat murah dan sememangnya membuatkan para pembeli berasa rambang mata. Sesampai kami di Istana Pagaruyung, atau dikenali sebagai Istano Baso Pagaruyuang, tiada apa yang terbit dari mulut saya selain pujian kekaguman. Sungguh besar sekali istana Pagaruyung tersebut sehingga membuat saya berasa sangat kerdil berhadapannya. Sungguh indah sekali struktur dan seni halusnya. Memang tersangat besar dan panjang.Disana terdapat maskot-maskot yang menanti anda untuk bergambar. Ingin saya berpesan disini bahawa berhati-hatilah jika anda ingin bergambar, bukan apa, cuma mereka akan meminta bayaran untuk setiap gambar yang diambil bersama mereka. Ramai yang tidak tahu bahawa ini bukan percuma. Mereka akan mengekori anda dan meminta untuk membayar walaupun sedikit. Baiklah, kita teruskan lagi dengan cerita istana ini, asal istana ini dibina pada abad ke-17 namun telah beberapa kali mengalami kebakaran dan juga telah beberapa kali dibangun semula dan yang paling terbaru pada tahun 2007.
 |
Istano Baso Pagaruyung (Paguruyuang) |
 |
Suasana di dalam Istana (bahagian hadapan) |
 |
Ukiran pada dinding yang sangat halus dan indah |
Di dalamnya teramatlah luas dan megah. Ia sememangnya kaya dengan ukiran seni yang halu dan indah. Ini dapat dibuktikan pada dinding dan siling istana tersebut. Istano Baso Pagaruyung ini juga mempunyai tiga tingkat dimana tingkat atas sekali adalah tempat penyimpanan harta dan senjata.
Comments
Post a Comment