Kita sambung untuk bahagian kedua. Selepas melawat Istanao Baso Pagaruyung, kemudian kami dibawa makan tengahari di gerai tepi jalan. Di sini, amat payah untuk melihat sesuatu kawasan yang membangun kecuali di bandaraya sahaja iaitu di Bukittinggi. Apabila sudah kenyang, kami kemudian dibawa ke Tasik Singkarak. Tasik ini sungguh indah dipandang dek warna birunya yang sangat terang dan memukau setiap mata yang memandang.
Oleh sebab kecantikannya, saya ada menulis sebuah puisi berkenaan tasik ini. Airnya berwarna biru pekat kerana airnya yang sungguh jernih (sehingga boleh menampakkan baru-batu di dasarnya). Pancaran warna langit yang biru itu telah menyebabkan warna tasik ini juga berwarna biru. Ia sangat luas dan mandi-manda adalah dibenarkan di kawasan itu.
 |
Tasik Singkarak |
 |
Warna Tasik Singkarak yang membiru |
Setelah penat berjalan, maka kami pulang ke hotel dan berehat. Keesokan harinya perjalanan diteruskan lagi dan kali ini memerlukan tenaga lebih untuk berjalan kaki. Kami dibawa ke Lobang Jepang, iaitu terowong bawah tanah yang digali oleh askar Jepun suatu ketika dahulu. Lobang Jepang ini sangat panjang dan mempunyai banyak cabang. Yang menariknya disini, terowong bawah tanah ini sama sekali tidak panas, malahan sejuk seperti dipasang pendigin hawa. Cabang-cabang yang terdapat di dalam terowong merupakan bilik atau tempat yang mempunyai fungsinya tersendiri. Ada ruang makan, tempat pembuangan mayat, tempat penyimpanan senjata, tempat mandi, tempat tidur dan sebagainya. Menurut pengiring di situ, dia memberitahu bahawa terowong tersebut cuma disiapkan dalam tempoh yang amat singkat iaitu hanya dalam masa 2 bulan. Hebat bukan? Itulah kelebihan askar Jepun yang sangat rajin dan bersungguh-sungguh.
 |
Pengiring menunjukkan peta Lobang Jepang |
 |
Terowong Lobang Jepang |
 |
Pintu masuk ke Lobang Jepang
|
Banyak lagi tempat-tempat yang menarik kami lawati termasuk ladang kopi Kiniko yang terkenal dengan kopinya yang pekat dan lazat, gedung-gedung makanan, tempat pembuatan songket serta kedai-kedai kain yang bilangannya yang cukup banyak di sekitar Padang ini. Hari terakhir kami bagi saya merupakan hari yang palin istimewa di antara hari-hari lain. Ya, pada hari itu kami dibawa ke Danau Maninjau, iaitu tempat kelahiran tokoh penulisan terkenal dan tidak asing lagi dibibir dunia kesusasteraan, iaitu Buya Hamka. Saya amat terkesan sekali dengan cerita beliau bertajuk "Tenggelamnya Kapal Van der Wijck" yang mengisahkan percintaan Hayati dan Zainuddin yang penuh liku dan terpisah akibat adat yang sangat kuat dalam bangsa Minangkabau.
Menuju ke tempat kelahiran Hamka ini sememangnya berliku dan menakutkan. Jika anda hendak tahu, untuk menuju ke Danau Maninjau, anda perlu melalui satu-satunya jalan di lereng bukit yang berliku dan sempit. Jalan itu dinamakan Kelok 44.
 |
Kelok 44
|
 |
Liku jalan di lereng bukit (gambar dari pandangan atas)
|
Setelah hampir setengah jam melalui kelok tersebut, maka sampailah kami ke destinasi. Sungguh terpesona saya melihat Danau Maninjau yang selama ini tidak saya ketahui kwujudannya. Keindahan ciptaan Tuhan ini diakui sendiri oleh mantan Presiden Indonesia, Soekarno yang telah menulis serangkap pantun yang berbunyi “Jika adik memakan pinang, makanlah dengan sirih hijau, jika adik datang ke Minang, jangan lupa singgah ke Maninjau…”. Tarikannya sungguh berbeza sekali berbanding tempat-tempat yang lain.
Disini saya telah melawat rumah kelahiran Buya Hamka yang telah dibangunkan semula dan dinaiktarfkan pada tahun 2013 oleh bapa kepada Allahyarham Ahmad Ammar, pelajar Malaysia yang telah meninggal dunia sewaktu berada di Turki. Info ini diberitahu oleh penjaga rumah kelahiran tersebut, maafkan saya kerana tidak mengigati namanya. Beliau memberitahu bahawa bapa kepada Ahmad Ammar ini telah menyumbangkan sejumlah dana bagi membangun semula tempat bersejarah itu. Di rumah kelahiran itu juga ada dijual buku-buku tulisan Hamka. Iaa bertujuan untuk mengumpul dana bagi rumah tersebut.
Tidak pulang dengan tangan kosong, anda disajikan dengan ceramah ringkas tentang siapakah Hamka serta asal-usulnya oleh penjaga rumah tersebut. Kami berkumpul di halaman rumah sambil bersila dan mendengarkannya bercerita. Banyak karya-karya Hamka yang disusun rapi di dalam peti cermin di dalam rumah tersebut.
 |
Museum Rumah kelahiran Buya Hamka |
 |
Sesi ceramah tentang Hamka oleh penjaga rumah |
 |
Karya-karya Hamka di dalam almari kaca |
Setelah mendengar habis ceramah dan membeli sebuah novel Hamka di sana, maka berakhir sudahlah perjalanan saya selama 4 hari 3 malam bersama ibu tercinta. Pelbagai benda baharu yang telah saya dapati semasa berjalan di negeri orang ini. Selain dapat melihat sendiri rumah kelahiran Hamka ini, saya juga dapat melihat keindahan negeri orang. Yang mengagumkan saya ialah di sumatera Barat ini cuacanya dingin sejuk semulajadi dan jika anda berkunjung ke sini, anda akan dapati dimana-mana sahaja seperti restoran, surau, masjid kedai membeli belah tiada satu pun kipas. Ini kerana cuacanya sendiri sudah sejuk. Ini disebabkan oleh kawasan mereka yang mendiami di kaki Gunung Merapi.
 |
Danau Maninjau (dari pandangan atas) |
Jadi sekian sahaja coretan saya buat kali ini, dharap dapat memberi sedikit sebanyak info tentang Padang, Indonesia ini. Saya berharap agar saya berpeluang untuk melawat lagi sekali negeri orang ini. Sekian.
Comments
Post a Comment